Pages

Monday, 28 March 2016

Jumlah Kematian Serangan Pengebom Bunuh Diri Di Pakistan Meningkat 72 Orang

Sinofa

ISLAMABAD, 28 Mac (Bernama) -- Jumlah kematian dalam insiden letupan bom di sebuah taman riadah di ibu negara Lahore di timur Pakistan pada petang Ahad, oleh pengebom bunuh diri meningkat kepada 72 orang, lapor agensi berita China, Xinhua pada Isnin memetik sumber rasmi.

Jurucakap wilayah Punjab, Zaeem Qadri berkata mereka yang terbunuh termasuk 29 kanak-kanak sementara 315 orang cedera dalam serangan letupan mengegarkan taman riadah Gulshan-i-Iqbal ketika dipenuhi pengunjung.

Beliau berkata pihak hospital mengenal pasti 54 mangsa dan diserahkan kepada waris manakala selebihnya belum dikenal pasti kerana waris tidak dapat dihubungi.

Xinhua melaporkan, insiden dipercayai dilakukan pengikut Taliban Pakistan Jamaat ul Ahrar, iaitu seorang lelaki berumur 28 tahun dari bandar Muzaffargarh, Punjab.

Timbalan Ketua Polis Haider Ashraf berkata, pengebom meletupkan diri di parkir berdekatan pagar taman riadah ketika dipenuhi pengunjung termasuk komuniti minoriti kristian yang meraikan perayaan Ester.

Beliau berkata kawasan parkir itu berdekatan tempat permainan kanak-kanak dan juga kaunter tiket, pemilihan lokasi berkenaan menjadi sasaran pengebom kerana ia dipenuhi pengunjung.

Susulan insiden itu, Ketua Menteri Punjab Shahbaz Sharif mengumumkan tiga hari berkabung dan bendera dikibarkan separuh tiang di semua agensi kerajaan di wilayah berkenaan.

Sementara itu, pihak kerajaan selatan Sindh dan barat daya wilayah Balochistan turut berkabung selama sehari.

Perdana Menteri Nawaz Sharif dan Presiden Mamnoon Hussain mengutuk serangan itu dan mengarahkan pentadbiran hospital menyediakan khidmat rawatan sebaik mungkin kepada mangsa yang cedera.

Ketua angkatan tentera negara itu turut mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dan mengarahkan anggota komander serta agensi risikan secepat mungkin mengesan dalang berhubung kait dengan serangan itu, kata Unit Khidmat Perhubungan Awam Tentera Pakistan.

Komuniti antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan India turut mengutuk serangan itu dan berharap mereka yang cedera segera pulih.


No comments:

Post a Comment