ABUJA, 25 Mac (BERNAMA-NNN-NAN) -- Menteri Sains dan Teknologi Nigeria, Dr Ogbonnaya Onu, berkata seorang angkawasan dari negara itu akan dihantar ke angkasa lepas pada 2030.
Onu berkata demikian ketika pasukan pengurusan Agensi Pertahanan Angkasa Lepas yang dipimpin Ketua Pengarahnya, Naib Marsyal Udara Victor Udoh, mengunjungi beliau pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan persekutuan sedang melakukan persiapan bagi memastikan perkara itu dapat dicapai.
"Program angkasa lepas ini amat penting untuk sebuah negara seperti Nigeria. Kementerian akan bekerja keras pada tahun-tahun berikutnya bagi memperkukuh struktur semua agensi yang membantu kami untuk memastikan negara memainkan peranan di angkasa lepas," katanya.
Onu berkata kementerian itu akan melipatgandakan usaha bagi memastikan semua persiapan yang perlu disediakan.
Menurutnya, angkasa lepas "merupakan satu aset besar dan negara seperti Nigeria perlu terlibat sama bagi melindungi kepentingan nasional."
Beliau menyakinkan pasukan itu bahawa kementeriannya akan menyokong dan bekerjasama dengan agensi berkenaan demi kepentingan negara.
Sementara itu, Udoh berkata agensi tersebut ingin berkolaborasi dengan kementerian berkenaan dalam usaha untuk menjadi lebih efisien dan efektif.
Bekerjasama dengan kementerian itu akan mempercepat pencapaian objektif agensi berkenaan, katanya.
-- BERNAMA-NNN-NA
No comments:
Post a Comment