KUALA LUMPUR: Bukan hanya manusia, ayam turut terkesan
dengan cuaca panas El Nino.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek, berkata cuaca panas yang melanda negara kini menyebabkan ayam
mengalami stres yang menyebabkan proses pembesaran terbantut.
"Ini boleh berlaku apabila ada penternak ayam yang
masih menggunakan kaedah lama iaitu kaedah reban terbuka. Apabila suhu tinggi,
kadar stres ayam akan meningkat contohnya daripada 38 hari menjadi 40 hari
untuk mencapai berat tertentu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan
Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Engku Naimah Engku
Taib sama ada bekalan ayam dan daging terjejas akibat cuaca panas terutama
menjelang Ramadan.
Ahmad Shabery berkata, keadaan cuaca panas akan menyebabkan
pengeluaran ayam berkurangan antara lima hingga 10 peratus.
"Apabila bekalan ayam berkurangan, kita bimbang rakyat
pula akan stres," katanya.
Bagi menangani keadaan itu, beliau berkata penternak ayam kini
lebih banyak menggunakan kaedah reban tertutup yang membolehkan suhu di dalam
reban dikawal.
"Untuk menghadapi bulan puasa, semua keperluan telah
diatur, bermula sekarang kadar penetasan ayam telah ditambah. Jika bekalan
masih belum mencukupi, kementerian bersedia mengimport ayam bagi memastikan
harganya stabil," katanya. - BERNAMA