KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Di tengah-tengah kerancakan pilihan raya
negeri Sarawak, mesyuarat mingguan Kabinet persekutuan diadakan di Wisma
Bapa Malaysia, ibu pejabat pentadbiran kerajaan negeri, di sini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
di bangunan setinggi 22 tingkat itu, yang dinamakan bersempena Perdana
Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam
berkata perubahan tempat mesyuarat itu adalah untuk menunjukkan sokongan
terhadap kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan telah dicadangkan Najib kerana
beliau merasakan bahawa beliau perlu berada di sini dan beliau ingin
mendapatkan komitmen daripada setiap menteri Kabinet.
"Mesyuarat Kabinet esok (Rabu) adalah untuk menunjukkan komitmen dan
sokongan moral kami terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Ia juga bagi
menterjemahkan sokongan kami kepada Adenan dan juga visi beliau.
"Dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan
Datuk Seri Najib, kita berada di sini untuk bersama-sama dengan rakyat
Sarawak," kata Zahid semalam.
Kali terakhir mesyuarat Kabinet diadakan di luar Putrajaya ialah di Kuantan pada 2011.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment