Pages

Tuesday, 3 May 2016

Perintah Gaji Minimum 2016 Undang Reaksi Pelbagai

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pengumuman Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja mengundang reaksi berbeza daripada pelbagai pihak.

Presiden Persatuan Rangkaian Usahawan India Malaysia (1MINE) Datuk S. Gopinath berkata langkah kerajaan menetapkan gaji minimum itu selaras dengan hasrat negara ke arah mencapai status negara maju.

"Terdapat kemungkinan gaji minimum ini ditingkatkan kepada RM1,500 menjelang 2020 dan sesungguhnya ia perlu, bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berpendapat gaji antara Semenanjung Malaysia serta Sabah, Sarawak dan Labuan perlu diselaraskan memandangkan masyarakat negara ini bernaung di bawah prinsip 1Malaysia.

Bagi Pengarah Syarikat Sepen Engineering Sdn Bhd Wong Kah Poh, PGM 2016 menjadi beban tambahan dan cabaran terbesar kepada majikan.

"Secara jujurnya, peniaga mempunyai metadologi tersendiri bagi mengembangkan bisnes tetapi pengumuman sebegini jelas, menjejaskan matlamat kami dan kemungkinan besar perlu melaksanakan pembuangan kakitangan bagi mengurangkan kos operasi," katanya.

Sementara itu, A. Karpagam, 49, seorang tukang sapu bangunan di Puchong berkata beliau amat berpuas hati dengan pengumuman itu.

"Walaupun tidak banyak, ia tetap membantu menampung perbelanjaan keluarga saya dan membolehkan saya menyimpan sedikit di bank," katanya.

Kerajaan mengumumkan PGM 2016 akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja.

Kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

-- BERNAMA

Mesyuarat Mingguan Kabinet Persekutuan Di Kuching Hari Ini

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Di tengah-tengah kerancakan pilihan raya negeri Sarawak, mesyuarat mingguan Kabinet persekutuan diadakan di Wisma Bapa Malaysia, ibu pejabat pentadbiran kerajaan negeri, di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan setinggi 22 tingkat itu, yang dinamakan bersempena Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata perubahan tempat mesyuarat itu adalah untuk menunjukkan sokongan terhadap kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat berkenaan telah dicadangkan Najib kerana beliau merasakan bahawa beliau perlu berada di sini dan beliau ingin mendapatkan komitmen daripada setiap menteri Kabinet.

"Mesyuarat Kabinet esok (Rabu) adalah untuk menunjukkan komitmen dan sokongan moral kami terhadap kepimpinan kerajaan negeri. Ia juga bagi menterjemahkan sokongan kami kepada Adenan dan juga visi beliau.

"Dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib, kita berada di sini untuk bersama-sama dengan rakyat Sarawak," kata Zahid semalam.

Kali terakhir mesyuarat Kabinet diadakan di luar Putrajaya ialah di Kuantan pada 2011.

-- BERNAMA

Dua kereta terjunam dalam lubang tapak pembinaan



PETALING JAYA: Anggota bomba menyelamatkan dua orang yang terjunam ke dalam lubang pembinaan sedalam 12m bersama-sama dengan kereta mereka.

Ketua Balai Bomba Damansara Ramli Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 2 petang semalam.

"Kami telah menghantar sebuah jentera dan enam lelaki ke tempat kejadian. Mereka tiba pada kira-kira 10 minit dan mendapati bahawa Toyota Vios telah menjunam ke dalam lubang di Jalan Universiti berhampiran Seksyen 17, di sini.

"Dengan bantuan polis, kami menutup jalan yang terjejas dan mula persiapan untuk menghantar dua anggota ke dalam untuk menilai keadaan," katanya di tempat kejadian.

Beliau berkata, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar kedua-dua mangsa pada kira-kira pukul 3.20 petang.

"Kedua-dua mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan."

Beliau berkata dengan bantuan kren dari tapak pembinaan berhampiran, mereka berjaya mengeluarkan kereta yang remuk pada kira-kira 3.45 petang.

Sementara itu, jurutera awam Pram Velauthan Gopal, yang menyaksikan kemalangan itu, berkata ia boleh dielakkan jika tapak pembinaan telah menggunakan penghadang konkrit yang betul bukan yang plastik.

"Pihak berkuasa perlu melihat ke dalam isu ini dan memastikan tapak pembinaan sama di seluruh Petaling Jaya adalah selamat untuk pengguna jalan raya," katanya